Kisah Dari Al-Quran: Politik Firaun. Adakah Sama Dengan Zaman Ini??

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 9/19/2008 10:20:00 PTG in |

Al-Quran merupakan kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Ia merupakan kitab hidayah, walaupun di dalamnya terkandung pelbagai ilmu dan maklumat. Antara yang terkandung di dalam al-Quran ialah kisah umat terdahulu. Cara kisah-kisah ini diceritakan di dalam al-Quran adalah pelbagai. Ada kalanya panjang dan ada kalanya pendek. Bahkan ada kalanya tidak tersusun dari aspek turutan waktunya. Ini menunjukkan bahawa al-Quran tidak mementingkan cerita, bahkan yang lebih dipentingkan adalah pengajaran yang perlu diambil daripada cerita tersebut. Hal ini berbeza dengan kitab-kitab sebelumnya. Kitab Taurat contohnya, meriwayatkan cerita mengikut turutan waktu secara terperinci, sehingga ada pengkaji yang berpendapat ia lebih berbentuk kitab sejarah daripada kitab agama.

Antara kisah penting yang terdapat di dalam al-Quran adalah kisah Fir'aun. Perkataan Fir'aun secara jelas disebut di dalam al-Quran sebanyak 67 kali dalam 61 ayat dan pada 21 surah. Ada kalanya diriwayatkan secara panjang lebar dan ada kalanya sekadar untuk menerangkan watak yang dilaknat oleh Allah itu untuk diambil pengajaran. Antara surah yang menceritakan kisah Firaun secara pangjang lebar ialah surah al-A`araf, Yunus, Toha, Syu`ara', al-Qasas, dan Ghafir.

Seperti yang telah diterangkan, kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran tersebut diceritakan adalah untuk diambil pengajaran dan iktibar, bukan sekadar berseronok-seronok. Justeru, watak-watak yang diceritakan tersebut akan berulang dalam sejarah manusia. Tidak hairanlah apabila Nabi s.a.w. menggelarkan Abu Jahal sebagai Firaun umatnya,;

(Hadith riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Abdullah bin Mas`ud, Nabi s.a.w. bersabda: "Ini Fir'aun umat ini").



Antara politik Fir'aun untuk memperkukuhkan lagi kekuasaannya ialah dengan mengaku sebagai tuhan. Firman Allah s.w.t.:dalam (Surah al-Nazi`aat: 32) (فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى), Maksudnya: "Maka berkatalah Firaun: Akulah tuhan kamu yang paling tinggi". Keangkuhan seumpama ini berulang lagi dalam sejarah manusia. Golongan pemimipin diktator seperti Hitler, walaupun tidak mengaku menjadi tuhan, tetapi tindakan yang mereka lakukan seakaan mahu menyamakan diri mereka sebagai tuhan. Begitu juga, ada juga pemimpin yang mengaku mampu memberikan manfaat dan kemudharatan kepada pengikutnya dengan mengaku sebagai wali dan mendapat ilmu laduni daripada Allah sehingga segala yang diucapkannya perlu dilaksanakan. Bukankah ada di kalangan puak-puak yang lahir daripada aliran Syiah yang mempertuhankan manusia? Justeru kisah ini berulang lagi dalam secara manusia.

Firman Allah lagi:

قَالَ أَلَمْ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدًا وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ

Maksudnya: "Berkata Fir`aun: Bukanlah kami membela kamu dari kecil dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun?";
(Surah Syuaraa: 18)


Inilah yang disebut oleh Fir`aun kepada Nabi Musa apabila baginda ingin menyampaikan dakwahnya. Ungkitan seperti yang pernah dibuat oleh Fir`aun tersebut selalu kedengaran keluar daripada mulut para pemimpin apabila ada rakyat yang ingin membuat perubahan kepada yang lebih baik. Mereka selalu berkata, bukankah kami yang memberikan kamu biasiswa? Berapa banyak subsidi telah kami berikan? Bukankah kami yang memberikan keamanan kepada Negara ini? Dan pelbagai ungkitan lain seumpama ungkitan Fir`aun tersebut.

0 comments:

Kalendar Hijrah

Jumlah Pelawat

free hit counter

Ekslusif

Foto saya
Telah belajar di Sekolah Menengah Agama Sungai Petani, Bedong, Kedah dari tingkatan 1 hingga 6 dan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di dalam bidang Pengajian Islam Syariah. Sekarang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Pengikut

Ruangan Ukhwah