Shabery tidak mampu jelaskan fakta yakinkan rakyat

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 02:01:00 PTG in | comments (0)

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Ramai penonton yang menyaksikan siaran langsung debat isu "Hari ini memerintah, esok turun harga minyak" antara Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dan Dato' Seri Anwar Ibrahim merungut tentang kelemahan Shabery mengemukakan hujah.

Seorang penonton, Rosdi Maarof yang menyaksikan siaran itu malam tadi menghubungi Harakahdaily bagi menyatakan rasa kesal dengan sikap Shabery yang lebih mengutamakan pendekatan menghentam bukan menjelaskan.

"Saya kesal dengan sikap Shabery yang lebih mahu mengemukakan hujah berbentuk serangan peribadi berbanding menjelaskan fakta bagi pihak kerajaan, adapun fakta yang dikemukakan sukar untuk difahami rakyat,

"Saya lebih melihat bahawa hujah yang dikemukakan Anwar adalah realistik kerana beliau mengambil pendekatan menyebelahi rakyat terbanyak," ujarnya.

Sementara itu seorang lagi pemanggil turut menyatakan kekecewaan terhadap peluang debat yang tidak digunakan sebaik mungkin oleh Shabery untuk menjelaskan rasional sebenar yang boleh diterima rakyat berhubung tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof Ahmad berkata, rakyat lebih melihat bahawa hujah menurunkan harga minyak RM0.50 oleh Anwar lebih meyakinkan dalam keadaan sekarang.

Apatah lagi katanya, rakyat kini sememangnya terbeban dengan kenaikan mendadak yang diumumkan kerajaan yang menjadikan kantung rakyat semakin sesak.

"Menteri-menteri tidak merasa bagaimana rakyat merasakan beban kenaikan harga minyak ini, mereka hanya boleh bercakap kosong sahaja, minyak kereta merekapun rakyat yang bayar," katanya.

Perdebatan antara Anwar dan Shabery telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur malam tadi.

Perdebatan itu disaksikan oleh penonton secara langsung perdebatan tersebut di TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

Moderator yang mengendalikan debat itu ialah, Dato' Johan Jaafar yang juga Pengerusi DBP sementara dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar ialah Editor Siasah, Zulkifli Sulong dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato' Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara dari 40 peratus sekarang, kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat.

Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugiaan.

Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukan RM1 bilion daripada dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar harga minyak.

Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 seliter.

"Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini," katanya.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 bilion membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak. - mns_

Debat: Anwar lebih diyakini penonton.

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 02:00:00 PTG in | comments (0)

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh)- Tinjauan yang dilakukan dua akhbar portal internet, Malaysiakini dan mSTAR Online mendapati Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya meyakinkan rakyat terhadap rancangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak.

Malaysiakini menjalankan tinjauan selama 12 jam bermula sebaik sahaja perdebatan Anwar dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek selesai pada jam 10 malam tadi.

Dalam tinjauan itu, 17,240 atau 95 peratus daripada 18,684 pengunjung bersetuju bahawa hujah-hujah Anwar adalah lebih meyakinkan.

Sejumlah 90 peratus pembaca percaya, Shabery mengelak menjawab banyak soalan yang dikemukakan oleh moderator, Dato' Johan Jaafar dan dua orang penalis, Dr Nordin Kardi dan Zulkifli Sulong.

Diminta memberi mata 1 hingga 10 bagi kedua-dua pendebat tersebut, Anwar ternyata lebih menyerlah daripada Shabery.

Perdebatan selama sejam itu merupakan yang pertama membabitkan seorang menteri dengan seorang tokoh pembangkang yang disiarkan secara langsung di TV.

Sementara itu, tinjauan mSTAR Online mendapati 86.9 peratus pengunjung memilih Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pemidato terbaik dalam debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak"?.

Sehingga jam 5.56 petang tadi, Shabery hanya memperolehi tujuh peratus manakala 6.2 peratus menyifatkan kedua-dua tokoh sebagai "sama-sama hebat".

mSTAR Online adalah akhbar portal versi Melayu milik akhbar The Star. - tajdid.

Bimbang jadi perangkap kedua - Mursyidul Am

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 01:59:00 PTG in | comments (0)

KOTA BHARU, 15 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bimbang kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berunding dengan PAS berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu dijadikan sebagai perangkap kedua.

"Saya bimbang benda ini jadi seperti perangkap. Dahulu kita sudah masuk perangkap dan tidak kan hendak masuk perangkap pula.

"Umno minta hendak bergabung (runding) ketika dia dalam keadaan terdesak. Pengalaman 13 Mei 1969 di mana Umno terdesak benar-benar jadi dia minta hendak bergabung dengan PAS.

"Sekarang Umno sekali lagi terdesak sungguh sehingga sudah hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan parti itu juga diserang bermacam-macam dalam blog," katanya kepada media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan menyambut baik cadangan Presiden PAS untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Abdullah berkata parti itu sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kenyataan kesediaan Perdana Menteri hendak jumpa dengan pemimpin PAS itu hanya bersifat peribadi.

"Kalau kita hendak muzakarah, kena parti dengan parti dan bukan peribadi tertentu sahaja. Pemimpin Umno sekarang dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Orang di bawah dagu Umno pun sudah mendesak Perdana Menteri berundur, sudah lama timbul isu tersebut dan Datuk Seri Abdullah telah tetap tarikh hendak berundur.

"Benda-benda begini saya teringat balik cerita semasa Allahyarham Tun Razak meminta bersatu dengan PAS dalam keadaan mereka begitu tertekan," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu berlaku dalam keadaan pemimpin Umno yang beriya-iya hendak bersatu dengan PAS.

Menurutnya ketika itu Tun Razak Hussien yang mempelawa hendak bersatu dengan PAS sehingga PAS akhirnya berpecah tiga.

Sedangkan kata beliau Tun Razak seorang tokoh yang kukuh pendiriannya dan sehingga sekarang pun tiada orang berani mencemuhnya.

Beliau juga berkata, sebagai pejuang Islam tiada niat hendak berbalah dan melawan sesiapa kerana kita yakin Islam itu betul.

"Kami hendak benar-benar diadakan muzakarah, namun jangan pula berulang sejarah hitam yang lepas.

"Saya setuju perjumpaan di antara Datuk Seri Abdullah dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, tetapi biar kemaslah. Bagaimanapun saya tidak nampak Umno boleh kemaskan dirinya," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, selepas pilihan raya umum lalu nampak sangat Umno begitu lemah, namun masih lagi angkuh sehingga menarik balik projek pelancongan bernilai RM8 juta di bandar baru Pasir Mas.

Katanya, tidak masuk akal kalau Umno benar-benar ikhlas tetapi dalam masa yang sama menarik balik kelulusan projek tersebut yang hanya bernilai RM8 juta dan bukannya RM8 bilion.

Beliau berkata, kerajaan negeri susah payah mencari tanah untuk membina projek tersebut, tiba-tiba kerajaan pusat menarik balik.

Biar pun dianggap orang berprasangka buruk terhadap pemimpin Umno, namun katanya, biarlah mereka meminta maaf sungguh-sungguh kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan.

"Minta maaf tidak pernah dilakukan pemimpin Umno. Dan kedua mengapa tarik balik peruntukan kepada Kelantan, nampak sangat ego dia,"ujarnya.

Sementara itu, seorang pemimpin di Kelantan memberitahu tidak pernah ada sebarang keputusan dibuat PAS untuk diadakan pertemuan dengan Umno dalam masa terdekat ini. - mj/mks.

Anwar ditahan, Azmin sangsi kenapa Khairy minta sampel DNA Anwar

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 01:58:00 PTG in | comments (0)

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Beberapa minit sebelum Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim ditahan berhampiran rumahnya pada jam 1.15 petang tadi Dewan Rakyat turut kecoh berhubung kes Liwat Anwar.

Dewan Rakyat kecoh hampir setengah jam ketika menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin berucap dengan membuat tuduhan terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan liwat.

Khairy mencetus kemarahan ahli Parlimen Pakatan Rakyat antaranya, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Azmin Ali (KeADILan Gombak); Gobind Singh Deo (DAP Puchong); Yusmandi Yusof (KeADILan Balik Pulau) dan beberapa ahli Pakatan Rakyat lain yang turut mengecam Khairy.

Perang mulut antara Khairy dengan Azmin bermula apabila Khairy menyifatkan Anwar tidak mengikut undang-undang kerana tidak ke Balai Polis untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

Malah, Khairy juga mendesak sampel DNA Anwar diserahkan kepada polis jika Ketua Umum KeADILan itu meskipun bagi Azmin dan Gobind siasatan polis belum selesai.

Tuduh menuduh bergelandangan dalam Dewan Rakyat antara Azmin dengan Khairy ditambah dengan beberapa orang ahli Parlimen yang menyebabkan suasana tak keruan.

Azmin juga menyifatkan bahawa Rembau (Khairy) adalah Perdana Menteri yang sebenarnya mentadbir Malaysia walaupun Perdana Menteri yang dinamakan kini adalah dari Kepala Batas (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Wan Junaidi Tunku Jaffar yang menjadi orang tengah dalam perdebatan itu terpaksa beberapa kali meminta ahli-ahli dewan bertenang dan tidak melontarkan sebarang tuduhan.

Sementara itu di Azmin yang ditemui di Lobi Parlimen menyatakan kesangsiannya terhadap kenyataan Khairy, itu yang disifatkan menjustifikasikan awal dalam kes liwat Anwar.

"Soal DNA, kita setuju dengan soal dia nak satu forensik bebas menyiasat, tetapi siapa yang akan menganggotai forensik itu benar-benar berwibawa dalam jalankan siasatan,"

Namun kata Azmin, beliau melihat bagaimana Khairy seperti boleh tahu tentang laporan polis terhadap Anwar itu sedangkan pihak yang dituduh sehingga kini tidak pernah mendapat salinan laporan itu.

Sedangkan, katanya sepatutnya pihak yang dituduh (Anwar) menerima laporan polis tersebut.

"Bagaimana Rembau (Khairy) boleh tahun tentang laporan itu, saya cabar dia agar dia jawab dalam dewan, " katanya.

Beliau juga sangsi bahawa mungkin ada satu konspirasi terhadap tuduhan liwat Anwar.

Perkembangan mengenai Anwar, sehingga kini Anwar dilaporkan dibawa ke IPK Kuala Lumpur dan orang ramai mula berkumpul bagi memberi sokongan kepada Anwar.

Polis yang menahan beliau dilaporkan memakai topeng dan berkaca mata gelap.

Abtara pimpinan PAS yang ada di IPK ialah, Dr Hatta Ramli dan Dr Zulkifly Ahmad.

Sejarah 1998 kembali, Anwar ditahan sebelum 'tunai janji'

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 01:56:00 PTG in | comments (0)

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Sejarah tahun 1998 mungkin akan berulang kembali selepas melihat tindakan polis menahan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum sempat Anwar memberi keterangan di Balai Polis seperti yang dijanjikan.

Anwar dilaporkan ditahan oleh sepasukan polis bertopeng di kawasan tidak jauh daripada rumah Ketua Umum KeADILan itu di Segambut.

Peristiwa ini mengingatkan rakyat kepada tragedi penahanan Anwar pada tahun 1998 yang mana ketika itu Anwar turut ditahan dengan cara yang tidak bertamadun.

Menurut Naib Presiden KeADILan, R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan Timbalan Perdana Menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Ketua Umum KeADILan itu tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala isterinya, Dato'Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali yang tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, menyifatkan tindakan polis itu sebagai 'tidak bertamadun' kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Keadaan di IPK kini dilaporkan semakin sesak dengan ramai penyokong Anwar mula berhimpun.

Turut dilaporkan bahawa ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan ke Parlimen bagi membuat bantahan terhadap penahanan tersebut, kata sumber.

Kerajaan BN sembunyi fakta rezab minyak negara 6 bilion tong

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 01:55:00 PTG in | comments (0)

KOTA BHARU, 17 Julai (Hrkh) � Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menjelaskan rizab minyak mentah negara berjumlah sebanyak 6 bilion tong dengan nisbah penggantian simpanan 1.8.

Menurut laporan tahunan Petronas 2007 negara mengeluarkan 700,000 tong minyak mentah sehari dengan lebihan penggunaan domestik hampir 200,000 tong sehari.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, sedangkan Malaysia memiliki populasi seramai 25 juta orang, di mana nisbah jumlah penduduk dan keluaran minyak mentah negara tinggi jika dibanding dengan negara-negara pengeluar minyak lain.

�Mesir mempunyai populasi penduduk 82 juta orang dan mengeluarkan 688,000 tong sehari dan penggunaan domestiknya sebanyak 635,000 tong sehari.

�Namun begitu Mesir masih menjual harga runcit minyak pada kadar RM1.03 seliter. Turkmenistan pula mempunyai penduduk seramai 5 juta orang dan mengeluarkan minyak mentah sebanyak 196,000 tong sehari dan menjual harga runcit petrol RM0.25 seliter,� katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau mengulas kegagalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak pada debat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim malam semalam.

Husam berkata, menteri terbabit beberapa kali mengulangi hujah-hujah yang sama iaitu negara-negara pengeluar minyak yang menjual bahan bakar pada harga runcit yang rendah mengalami kadar inflasi tinggi.

Selain itu katanya Malaysia pengeluar minyak yang kecil dan Petronas memberi sebegitu tinggi pendapatan kepada kerajaan.

Oleh itu katanya, Shabery gagal menjelaskan sejak kerajaan menaikkan harga runcit bahan bakar pada 5 Jun lalu kadar inflasi negara sudah meningkat sebanyak 7 peratus.

Bagaimanapun menurutnya agak bertuah rakyat Venezuela dan Iran kerana kadar inflasi tinggi namun petrol dijual pada harga hanya RM0.16 dan RM1.33 seliter.

�Ini bermakna penduduk di kedua-dua negara itu menikmati harga runcit bahan bakar yang rendah dan harga barang yang didakwa tinggi, tetapi di Malaysia, rakyat terpaksa menanggung kedua-dua beban itu sekaligus.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, menteri berkenaan juga gagal mematahkan hujah Anwar berhubung wang negara yang boleh dijimatkan menerusi penyusunan semula kadar IPP dan kewangan negara.

Menurutnya menteri terbabit juga tidak mengambil kira kehilangan daya saing negara hasil kenaikan kos pengeluaran sehingga menyebabkan kilang-kilang menanggung beban yang tinggi.

Beliau juga berkata, Pakatan Rakyat tidak pernah menafikan sumbangan Petronas begitu besar kepada hasil pendapatan negara.

�Strategi penurunan harga minyak Pakatan Rakyat tidak melibatkan desakan lebih banyak wang diambil dari Petronas.

Sementara itu di RANTAU PANJANG, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, nampak dengan jelas ketidakmatangan hujah Ahmad Shabery dalam debat bersama Anwar.

Menurutnya Menteri Penerangan hanya menggunakan peluang debat bagi menyerang mengenai hal peribadi Anwar sahaja dan bukan membentang fakta mengenai harga minyak.

Ketika ditemui di majlis pelancaran kempen kebersihan dan keceriaan bandar Rantau Panjang katanya, pemimpin Umno tidak mempunyai modal atau hujah yang secukup untuk menyakinkan rakyat.

"Tindakan menteri tersebut dalam keadaan yang tersempit dan kalau dah tersempit benda-benda lain pula diungkit," ujar beliau.

Bagaimanapun beliau memuji langkah diambil Anwar yang tidak mengikut rentak pemimpin Umno kerana masa yang diberikan terbatas.

Kalendar Hijrah

Jumlah Pelawat

free hit counter

Ekslusif

Foto saya
Telah belajar di Sekolah Menengah Agama Sungai Petani, Bedong, Kedah dari tingkatan 1 hingga 6 dan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di dalam bidang Pengajian Islam Syariah. Sekarang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Pengikut

Ruangan Ukhwah