Sejarah 1998 kembali, Anwar ditahan sebelum 'tunai janji'

by Aminil Husaini Ahmad Sobri | 7/17/2008 01:56:00 PTG in |

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Sejarah tahun 1998 mungkin akan berulang kembali selepas melihat tindakan polis menahan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum sempat Anwar memberi keterangan di Balai Polis seperti yang dijanjikan.

Anwar dilaporkan ditahan oleh sepasukan polis bertopeng di kawasan tidak jauh daripada rumah Ketua Umum KeADILan itu di Segambut.

Peristiwa ini mengingatkan rakyat kepada tragedi penahanan Anwar pada tahun 1998 yang mana ketika itu Anwar turut ditahan dengan cara yang tidak bertamadun.

Menurut Naib Presiden KeADILan, R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan Timbalan Perdana Menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Ketua Umum KeADILan itu tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala isterinya, Dato'Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali yang tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, menyifatkan tindakan polis itu sebagai 'tidak bertamadun' kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Keadaan di IPK kini dilaporkan semakin sesak dengan ramai penyokong Anwar mula berhimpun.

Turut dilaporkan bahawa ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan ke Parlimen bagi membuat bantahan terhadap penahanan tersebut, kata sumber.

0 comments:

Kalendar Hijrah

Jumlah Pelawat

free hit counter

Ekslusif

Foto saya
Telah belajar di Sekolah Menengah Agama Sungai Petani, Bedong, Kedah dari tingkatan 1 hingga 6 dan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di dalam bidang Pengajian Islam Syariah. Sekarang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Pengikut

Ruangan Ukhwah